05 July 2018

Syaz Tonton Tomb Rider (2018): Makam Permaisuri Berilmu Hitam Dicabuli

Tergamam aku melihat gambar teaser filem ini tahun lepas sebab Alicia Vikander yang melakonkan watak Lara Croft itu sebijik sama macam Lara Croft dalam video game terbaru. Bila ditonton, memang nampak jelas bahawa filem ini banyak mengambil inspirasi dari video game tersebut (selain dari jalan cerita). Mungkin untuk menarik penonton dari kalangan gamers tegar.

(sumber: geekexchange.com)

Masa video game tersebut direbootkan pada tahun 2013, ramai orang memujinya. Aku yang hampeh bermain (tapi minat nak ikut trend terkini) pernah jugalah tengok video orang bermain di Youtube. Dari ingatan aku, adegan Lara bergelut di dalam sungai yang deras sampai nak jatuh ke air terjun itu juga terdapat dalam video game.

Kostum watak Lara pun sama sahaja tak berubah dari zaman tok kaduk sampai sekarang. Memang dah jadi trademark watak ni kena pakai singlet biru kelabu macam tu.

Filem ini mengisahkan Lara Croft mencari ayahnya yang hilang berdasarkan klu-klu yang ditinggalkan. Lara anak orang kaya tetapi enggan mengambil duit yang diwariskan dari ayahnya kerana dia masih percaya bahawa ayahnya masih hidup.


Rupanya, ayah Lara obses mencari makam Permaisuri Himiko, seorang pemaisuri Jepun pada kurun ke-3 yang dikatakan mempunyai ilmu hitam dan boleh membunuh seseorang hanya dengan satu sentuhan sahaja.

Dengan pertolongan Lu Wen, anak kepada pemilik bot yang membawa ayahnya dari Hong Kong, Lara berlayar mencari sebuah pulau misteri yang dinamakan Yamatai di perairan Jepun. Bot mereka dilanda ombak yang besar di Devil Sea, kawasan laut di perairan Jepun di mana banyak bot hilang dan tenggelam ala Segi Tiga Bermuda.

Selepas tersadai di pulau tersebut, Lara mendapat tahu bahawa ada sebuah organisasi gelap yang dipanggil Trinity juga berada di situ, mencari sebuah objek yang dikatakan boleh mengawal dunia. Objek tersebut terkubur bersama Pemaisuri Himiko di dalam makamnya. Matthias Vogel, wakil Trinity di pulau tersebut masih tidak mengetahui di mana pintu masuk makam tersebut dan mengerah pelayar dan nelayan yang tersadai untuk kerja-kerja mengorek.

Lara tahu di mana lokasi makam tersebut melalui jurnal ayahnya. Apabila Vogel berjaya merampas jurnal tersebut, Lara perlu menghalang Trinity untuk menyelamatkan dunia.

Pada pendapat aku, filem ini tersangatlah boring, predictable dan cliche. Masalah untuk filem watak yang terkenal seperti Lara Croft ni, kita sebagai penonton tahu akhirnya dia tak akan mati dan dia akan berjaya untuk menyelamatkan dunia - jadi, tiada saspens atau sense of urgency walaupun watak tersebut ditusuk pedang di perutnya kemudian dipatuk ular.

Adegan kejar-mengejar juga menjadi satu kewajipan untuk sesebuah filem aksi. Sudah banyak sangat adegan kejar-mengejar yang aku tonton (dan sesetengahnya sangat hebat) sampai susah untuk kagumkan aku kalau setakat berlari atas bot atau belari dalam hutan. Siap nguap ngap ngap lagi.

Muzik latar yang digunakan pun tak best bagi aku. Kalau penggunaan muzik latar itu bagus, kita sebagai penonton tidak akan perasan pun ada muzik sebab khusyuk sangat menghayati adegan yang terpapar. Sebaliknya, muzik latar yang tak best akan menyebabkan kita hilang tumpuan kerana ia mencuri perhatian kita dari apa yang berlaku di skrin.

Lukisan Permaisuri Himiko
(sumber:heritageofjapan.wordpress.com)

Aku lebih berminat untuk tahu tentang lagenda Permaisuri Himiko. Permaisuri itu memang betul-betul wujud dan merupakan pemaisuri pertama yang direkodkan dari zaman silam pemerintahan Jepun. Baginda dikatakan mempunyai daya spiritual yang kuat sehingga ramai yang menuduh baginda naik takhta kerana baginda menggunakan ilmu hitamnya untuk menawan hati rakyat jelata.

Padahal, negara Yamatai sebelum zaman Himiko tidak aman dan sentiasa berperang. Jadi, rakyat semua fed up, gulingkan raja ketika itu dan sebulat satu suara membuat keputusan untuk menabalkan seorang perempuan pula untuk memerintah.

Selepas penabalan Permaisuri Himiko, baginda dikatakan bersembunyi dari pandangan orang ramai dan mewakilkan adik lelakinya untuk menguruskan hal-hal istana dan negara. Baginda sentiasa dikelilingi oleh 1000 orang dayang perempuan dan hanya seorang dayang lelaki yang menguruskan pakaiannya.

Terdapat beberapa rekod dari negara China yang mengatakan bahawa Permaisuri Himiko merupakan seorang pemerintah yang hebat dan mempunyai hubungan baik dengan negara China. Sepanjang pemerintahannya, negara Yamatai aman damai dan rakyat jelata hidup bahagia.

Rakyat Yamatai juga sangat menyayangi pemerintahnya itu, mereka membina sebuah makam berbukit yang berdiameter sehingga 100 meter selepas kematian Permaisuri Himiko. Di samping mayat baginda, mereka juga menanam 1000 dayang-dayangnya, buat teman di alam barzakh.

Selepas itu, seorang raja lelaki telah ditabalkan tetapi Yamatai mula menjadi kucar kacir dan tidak aman. Raja tersebut digulingkan dan Ito, seorang budak perempuan berumur 13 tahun yang mempunyai pertalian darah dengan Permaisuri Himiko diangkat menjadi pemerintah. Yamatai akhirnya kembali aman. Mungkinkah Ito sebenarnya Himiko?

Lokasi pulau Yamatai tidak diketahui oleh sesiapa pun di zaman moden ini. Pada tahun 2009, ahli arkeologi Jepun membuat pengumuman bahawa mereka telanh menjumpai sebuah makam yang berkemungkinan besar milik Permaisuri Himiko. Tetapi sebelum ia dapat disahkan, pihak istana Jepun telah mengisytiharkan kawasan tersebut sebagai makam diraja dan melarang sebarang kajian atau penggalian.

No comments: