09 July 2018

Syaz Tonton Winchester (2018): Jangan Jadi Tokey Senapang

Aku biasanya mengelak dari menonton filem seram yang diadaptasi dari kisah benar kerana terlalu takut untuk menontonnya. Yelah, macam mana kalau hantu-hantu tu masih wujud dan marah cerita dan penderitaan mereka dikomersialkan? Macam mana kalau mereka nak mengamuk dan naik kapal terbang datang Malaysia nak kacau aku siang-siang?

(Siang-siang sebab perbezaan waktu (timezone) Amerika Syarikat dan Malaysia. Hahaha)

Tapi aku pilih filem ini sebab dalam satu temu bual, pelakon Helen Mirren kata beliau tak takut pun walaupun filem ini membuat penggambaran di rumah misteri Winchester. Jadi, aku pun berani lah sikit.

(sumber:bestbuy.com)

Sarah Winchester merupakan balu pemilik syarikat senapang berjenama Winchester. Syarikat ini mengeluarkan senapang pelbagai jenis dan sangat popular di kalangan rakyat Amerika Syarikat pada tahun 1880-an. Senapang-senapang ini juga banyak digunakan di dalam Perang Saudara Amerika. Selepas kematian suaminya dan bayi perempuannya, Sarah Winchester mula diselubungi kemurungan yang amat sangat kerana bersedih. Ketika ini, beliau mula yakin bahawa diri dan dikeluarganya disumpah kerana ramai orang yang mati dan menjadi mangsa senapang-senapang keluaran keluarganya.

Beliau yang pada mulanya menetap di pantai timur Amerika Syarikat berjumpa dengan seorang ahli nujum yang mengesahkan ketakutan beliau melalui roh suaminya. Sarah percaya, untuk selamat dari sumpahan tersebut, beliau perlu berpindah ke pantai barat dan cuba untuk memulakan hidup baru.

Beliau berpindah ke San Jose, California dan membeli sebuah rumah agam yang mempunyai 8 bilik dan ruang tanah yang berekar-ekar. Rumah itu menjadi terkenal di kawasan tersebut kerana Sarah sentiasa mengubahsuainya dengan menambah dan meroboh bilik. Hari ni bina, esok roboh, lusa bina, tulat roboh lagi. Begitulah berterusan tanpa henti sepanjang kehidupannya. Pembinaan juga tidak akan berhenti pada waktu malam dan berterusan ke pagi untuk diganti oleh pekerja shif siang pula.

Beliau mendakwa bahawa beliau diarah oleh hantu mangsa-mangsa bunuh senapang untuk membina bilik-bilik tersebut. Di dalam filem ini, Sarah dilihat melakukan upacara pemujaan di tengah-tengah malam di mana hantu tersebut akan menggambarkan bilik kemahuan mereka lengkap dengan bentuk bilik dan jenis perabot.

(sumber: atlasobscura.com)

Setiap mangsa akan mendapat sebuah bilik masing-masing dan hanya akan diroboh setelah roh mereka bersedia untuk ke alam barzakh. Sementara itu, bilik yang dihuni akan dikunci dengan 13 batang paku di pintu depannya. Selagi Sarah mengikut kemahuan roh-roh tersebut, beliau akan berasa selamat.

Masalahnya, ramai betul hantu yang nak bilik. Dalam kepala, aku bayang hantu-hantu ni beratur panjang tunggu giliran mereka nak dapatkan bilik istimewa. Apa kau ingat ni hotel? Aku rasa hantu-hantu pakat nak cari tempat untuk dihantui, tapi rumah lain dah penuh kuota, jadi kena lah suruh makcik tua yang agak biul ni bina bilik sebuah. Alang-alang tu, mintalah perabut mahal-mahal sikit - makcik ni kaya gila kot!

Agak-agak kalau hantu zaman sekarang, dorang minta xbox dengan wifi tak?

Berbalik kepada filem ini, seorang doktor psikiatri, Dr, Eric Price, diupah oleh syarikat Winchester untuk menilai kewarasan Sarah. Selepas kematian suaminya, Sarah diwariskan wang sebanyak USD20 million (USD500 million duit 2017) dan 50% saham syarikat. Ini membuatkan pemegang saham lain di syarikat itu merasakan beliau tidak layak untuk menguruskannya selepas mendengar kegilaan beliau.

Eric yang juga sedang bersedih dengan kematian isterinya, cuba melupakannya dengan mengambil dadah. Di dalam filem, botol mengandungi dadah itu dilabel sebagai "Laudanum". Laudanum merupakan cairan ganja dan sangat popular sebagai ubat penahan sakit pada tahun 1800-an. Selepas Sarah merampas bekalan ganjanya, Eric mula diganggu oleh bayangan dan kelibat pelik. Pada mulanya, dia menyalahkan insiden-insiden tersebut kepada halusinasi disebabkan oleh "withdrawal symptoms".

Walaupun filem ini dikritik hebat oleh semua orang, tetapi bagi pendapat aku filem ini amatlah sesuai untuk ditonton oleh orang penakut seperti aku ni. Suasana filem ini tidak suram dan gelap gelita macam filem-filem seram yang lain. Pengcahayaannya terang dan jumpscares nya pun takdelah sampai aku melompat sekaki menyumpah-nyumpah. Muka hantu pun takdelah ngeri sangat.

(sumber:roadsideamerica.com)

Akhirnya, Sarah Winchester meninggal dunia di dalam tidurnya kerana serangan sakit jantung. Entah-entah terkejut disergah hantu kot. Hantu tu sama ada jadi hero sebab berjaya bunuh Sarah atau dibelasah teruk oleh hantu-hantu yang lain yang tengah beratur panjang.

Pengubahsuaian rumah tersebut akhirnya berhenti. Kini ia setinggi 7 tingkat dan mempunyai lebih dari 100 buah bilik. Anda boleh melawat rumah ini di San Jose, ia dibuka sebagai tarikan pelancong 5 bulan selepas kematian Sarah sehinggga kini.  Nak buat wedding pun boleh kat situ. Tahun lepas, dorang jumpa sebuah lagi bilik baru.

Selagi ada bilik di situ, selagi itulah ada hantunya...

No comments: