Entah bagaimana ia bermula, tapi sedar-sedar sahaja aku mula mempunyai masalah untuk melihat tulisan cikgu di papan hitam. Ketika ini aku baru berumur 10 tahun (darjah 4) dan aku baru sahaja naik kelas ke kelas yang pertama. Ramai orang-orang cerdik dalam kelas ini jadi aku pun kena la rajin sikit belajar.
Masa tu aku duduk di meja belakang sekali, aku memang tak pernah duduk depan sebab aku suka mengelamun dan berbual, jadi senang lah sikit nak menyorok dari perhatian guru bila duduk di bahagian belakang.
Hampir seminggu puas aku menyepetkan mata tapi tulisan cikgu di papan hitam masih kabur. Mata aku ni memang dah azali sepet. Jadi, bila sampai dah hampir tertutup masih tak nampak, aku pun tukar tempat duduk ke depan dengan kawan aku.
Mula-mula aku tukar ke tepi pintu membelakangi tingkap. Masih kabur. Silau matahari agaknya.
Lepas tu aku tukar tempat betul-betul depan papan hitam. Tak pernah dalam hayat aku duduk betul-betul bawah hidung cikgu macam tu.
Masih kabur juga lagi. Tak kan lah aku nak kena berdiri bercium dengan papan hitam kot baru nampak?
Akhirnya, aku mengadu kepada ayah aku. Terus dibawanya aku ke kedai cermin mata untuk membuat pemeriksaan mata.
Hahahaha.. rupa-rupanya aku memang rabun. Aku je yang tak tahu rabun tu macam mana. Bengong!
Masa dapat cermin mata baru, aku selalu menggayakannya di depan cermin. Nak tengok lah comel ke tidak bila pakai.
Tapi sebab aku baru berumur 10 tahun, pemikiran pun tak matang lagi. Aku hanya pakai cermin mata bila tengah belajar sahaja. Takut ditegur atau diejek oleh rakan-rakan agaknya. Entahlah, manalah aku ingat apa motif aku masa kecil-kecil dahulu.
Luar kelas, aku rela hidup sengsara dengan kerabunan itu. Kalau tak jumpa kawan masa rehat, sepet-sepet mata aku mencari mereka.
Bodoh biul betul aku masa itu. Haha malu doh bila teringat balik.
Suatu hari tu, semasa cikgu matematik tengah ajarkan seorang rakan aku yang duduk di meja belakang, aku pun turut serta nak dengar jugak.
Tengah syok-syok mendengar.
"Eh, Syaz, awak pakai spek?"
Terkejut aku bila dengar soalan itu. Tak ingat pula cermin mata tengah tergantung di hidung. Tapi Cikgu Rafidah hanya tersenyum, bukannya mengejek. Aku tengok rakan-rakan aku yang lain pun semuanya tersenyum nakal sahaja, bukan mengejek.
Aku pun tersipu-sipu membalas senyuman mereka.
Sejak dari hari itu, aku tak pernah buang cermin mata dari tertenggek di hidung aku sampai lah sekarang.
Banyak cerita pasal topik cermin mata dalam hidup aku. Tapi, lain kali lah pula ;)
No comments:
Post a Comment