30 June 2018

Syaz Baca Edisi Pagi (A. Samad Ismail): Penulis Pernah Jadi Pembekal Senjata!

Cerpen adalah satu genre yang penting dalam kesusasteraan Melayu moden. Selain novel, cerpen juga memberikan sumbangan yang menjadi sebahagian daripada warisan peradaban bangsa. Cerpen dianggap sebagai karya yang meniru kehidupan atau mimesis; justeru cerpen ialah cebisan kisah yang mengandungi fakta berbaur imaginasi berdasarkan berbagai-bagai ragam pengalaman masing-masing pengarangnya. Tersurat dan tersirat dalam cerpen sebagai hasil ciptaan seni kreatif juga ialah seni yang indah, persoalan yang terpilih, latar yang terpilih, watak-watak yang terpilij dan dipersembahkan dengan gaya bahasa yang terpilih juga.


Begitulah menurut Ketua Pengarah DBP, Dato' Haji A. Aziz Deraman di dalam ruangan kata iringan buku Edisi Pagi. Buku merupakan kumpulan 20 buah cerpen terpilih karya A. Samad Ismail. Biodata A. Samad Ismail tersangatlah hebat bila dibaca. Beliau bermula di dalam bidang penulisan dengan menjadi pengarang suratkhabar di zaman sebelum merdeka lagi.

Cover buku.
(sumber: goodreads.com)

Beliau sangat aktif serta mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang meluas di dalam bidang kewartawanan, penulisan dan politik. Malah, beliau banyak kali ditahan oleh pihak kerajaan sama ada pihak Inggeris sebelum merdeka dan juga kerajaan Tanah Melayu selepas kemerdekaan. Beliau ditahan di bawah Undang-undang Darurat dan Akta Keselamatan Dalam Negeri kerana dianggap berbahaya dan terlibat dalam kegiatan subversif.

Beliau juga tokoh sasterawan dan pejuang bahasa Melayu, aktivis politik dan kesatuan sekerja, pejuang hak asasi selain menjadi pembekal senjata kepada pejuang kemerdekaan Indonesia dalam tahun 1940-an. Beliau juga pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri dua kali iaitu oleh British sebelum dan juga selepas kemerdekaan selepas kematian Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia pada tahun 1960-an. -wikipedia.com

pembekal senjata!
(sumber: utusan.com.my)
Penulis banyak menggunakan pengalaman dan pengetahuan beliau di dalam cerpen-cerpennya. Contohnya, di dalam cerpen yang bertajuk "Ingin Menjadi Pujangga", watak utama (Arif) sedang mencari idea untuk penulisannya tetapi sentiasa diganggu oleh apa yang berlaku disekelilingnya. Bunyi bising di luar rumah, bini minta duit dan anak yang menangis adalah antara cabaran yang dihadapi oleh Arif. Jika anda seorang penulis, pasti anda juga bersimpati dengan Arif.

Arif, seperti penulis-penulis yang lain, mencipta watak yang sempurna di dalam mindanya berbanding dengan kekurangan di dalam kehidupan yang dialaminya. Contohnya, bini Arif yang sedang sarat mengandung hanya membiarkan baju yang tidak berlipat bersepah di lantai. Di dalam kepalanya pula, watak perempuan yang direkanya diberi sifat yang rajin dan kemas orangnya. Padahal, dia sendiri bukannya mahu menegur atau menolong isterinya.

Aku yakin, ramai penulis yang mempunyai sifat yang begini: kita nampak kekurangan di dunia kita, tetapi kita hanya membaikinya dengan memberi penyelesaian kepada watak ciptaan yang dikhayalkan, bukannya mengambil tindakan sendiri.

Dari cerpen-cerpen ini juga, kita dapat melihat cebisan kehidupan orang di zaman sebelum merdeka dan selepas merdeka. Askar Jepun datang ke rumah dan mendesak inginkan perempuan untuk ditiduri. Cina angkat najis dari rumah ke rumah. Dan riuh-rendah kampung yang dibom oleh tentera Jepun.

Tapi ada satu cerpen ni yang aku tak faham.

Tajuknya ialah "Ubi Kayu". Boleh teka cerita pasal apa?

Ya.. pasal ubi kayu. Cerpen itu dimulakan dengan:

Masa ini semua orang kasihkan ubi kayu; kepit, junjung  dan julang ubi kayu; tidak ada lain yang dicakapkan melainkan ubi kayu; di dapur, di trem, di majlis kahwin - asyik ubi kayu, ubi kayu, dan ubi kayu; hingga mimpi pun kadang-kadang darihal ubi kayu juga.

..dan diakhiri dengan:

Dia benar.. oleh sebab itu tanamlah ubi kayu banyak-banyak!

Aku asyik ketawa sahaja ketika membaca - bukan kerana lucu, tetapi kerana aku tidak faham mengapa mencari dan menggali ubi kayu pun nak diceritakan. Memandangkan cerpen ini diterbitkan pada tahun 1944, aku rasa ubi kayu memang menjadi kegilaan orang ramai di zaman penjajahan Jepun dulu, bukan hanya cerita sahaja.

Aku sendiri entah bila kali terakhir makan ubi kayu, asyik makan ubi kentang sahaja.

tengah cari gambar ubi kayu.. jumpa gamba ubi kayu rebus.. lama termenung menatap gambar-gambar tersebut.. cap cap cap hampir segelas air liur aku telan.. huhu
(sumber:azim ashaary)



KOSA KATA

mimesis: 
istilah yang digunakan Aristoteles untuk menyatakan bahawa karya sastera adalah bahagian tiruan peri laku dan peristiwa antara manusia

subversif: 
bertujuan untuk melemahkan atau memusnahkan sesuatu sistem politik, kerajaan, agama, dll, dengan menjalankan aktiviti-aktiviti tertentu secara sulit

No comments: